“Encik lulus semua subjek. 2 subjek cemerlang.”
Makluman dari pihak Sijil Agensi Harta Tanah (CEA) yang dikendalikan Institut Penilaian Negara (INSPEN) tersebut cukup melegakan saya. Alhamdulillah – saya telah lulus keenam-enam subjek dalam Semester 1 CEA!
Subjek-subjek tersebut adalah 6 subjek dari 12 subjek yang ditawarkan di dalam program CEA di mana setiap semester menawarkan 6 subjek. Jadi keseluruhan program melibatkan 2 semester (14 bulan) dengan 3 bulan untuk praktikal (dikecualikan jika ada pengalaman sebagai negotiator lebih dari setahun).
Saya tidak pernah mengambil peperiksaan yang dikendalikan terus oleh board namun dari perkongsian rakan-rakan saya sering mendapat gambaran yang peperiksaan tersebut sukar untuk dilepasi dan mengambil masa bertahun-tahun untuk lulus dalam semua subjek requirement untuk mendaftar sebagai Ejen Hartanah Percubaan (Probationary Estate Agent). Pada ketika itu program CEA ini dilancar dan mula diperbualkan. Saya mengambil keputusan untuk mencuba program ini setelah banyak review mengatakan “mudah lulus kalau ikut program ni”.
Setelah mengikuti program CEA sebagai pelajar separuh masa (part time) selama 1 semester dan menghadapi peperiksaan akhir semester, saya menyedari yang “mudah lulus” bukanlah advantage utama bagi saya yang mengikuti program ini.
Sudah tentu cepat lulus dan melangkah ke peringkat seterusnya sehingga memperoleh lesen dan agensi hartanah sendiri adalah objektif utama namun ada beberapa elemen lain yang menjadi faktor mengapa saya menganggap CEA merupakan satu platform yang baik untuk menjadi ejen hartanah berdaftar.
Selain menawarkan kelas-kelas pengajian (setiap hari Sabtu untuk pelajar separuh masa) dengan harga yang amat berpatutan iaitu lebih kurang RM8000 untuk keseluruhan program, pengetahuan dan pengalaman yang dikongsi oleh pensyarah-pensyarah yang mahir dalam bidang berkaitan hartanah amat berguna untuk diaplikasikan merangkumi undang-undang, teori, pemasaran, cukai dan sebagainya. Selain itu berada bersama rakan-rakan sekelas yang masing-masing ada kelebihan dan pengetahuan tersendiri (perunding hartanah, peguam, dsb) memberi peluang untuk berkongsi pandangan dan juga pengalaman yang sudah tentunya amat bermanfaat buat saya yang masih bertatih di dalam bidang ini.
Kini saya dan rakan-rakan sekelas sedang mengikuti Semester 2 dan sekiranya lulus dalam 6 lagi subjek, akan membolehkan kami untuk mendaftar sebagai Ejen Hartanah Percubaan, menjalani percubaan selama 2 tahun dan seterusnya menghadapi TPC untuk memperoleh lesen ejen hartanah sendiri.
Kesimpulan dari pandangan saya ialah Sijil Agensi Harta Tanah (CEA) yang ditawarkan INSPEN ini adalah satu platform yang baik untuk menjadi ejen hartanah berdaftar selain program-program yang setaraf dengannya. Apabila INSPEN membuka tawaran kemasukan baru untuk batch seterusnya, bertindak segera untuk anda melangkah ke peringkat seterusnya!