Belanjawan 2019: Rangkuman Polisi Berkaitan Hartanah

Belanjawan 2019 menyaksikan buat kali pertamanya Pakatan Harapan membentangkan belanjawan (dahulunya disebut sebagai Bajet) sebagai Kerajaan Persekutuan Malaysia. Justeru ada pelbagai spekulasi dan ramalan orang ramai terutamanya melibatkan aspek pasaran dan pemilikan hartanah. Mari kita lihat polisi-polisi berkaitan hartanah yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan di dalam Belanjawan 2019.

Pengecualian SST: Perkhidmatan Pembinaan & Bahan Binaan

Kerajaan mengumumkan pengecualian Cukai Jualan & Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan pembinaan & bahan binaan. Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah bersetuju untuk mengurangkan harga rumah sebanyak 10% tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek-projek baru sebagai balasan.

Kemaskini Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)

Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau Real Property Gain Tax (RPGT) ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah dan saham dalam syarikat hartanah dalam tahun ke-6 dan tahun seterusnya dikemaskini seperti berikut:

  • Bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 0% kepada 5%;
  • Bagi syarikat, inidividu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 5% kepada 10%; dan
  • CHKT dikecualikan atas harga hartanah, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah, dan rumah mampu milik di bawah RM200,000.

Pengecualian Pembayaran Duti Setem Rumah Pertama

Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik & perjanjian pinjaman bagi tempoh 2 tahun iaitu sehingga Disember 2020. Kerajaan juga akan memberi pengecualian pembayaran duti setem untuk pembeli rumah pertama sehingga RM500,000.

Kadar Duti Setem Dinaikkan

Kadar Duti Setem dinaikkan sebanyak 1 mata peratusan daripada 3% kepada 4% bagi pemindahan hartanah bernilai RM1 juta ke atas.

Bantuan Deposit Pembeli Rumah Pertama

Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000. Platform penjanaan dana masyarakat (property crowdfunding) juga bakal diperkenalkan bagi membantu pembiayaan untuk pembelian rumah.

Pemanjangan Tempoh Pinjaman Perumahan Kakitangan Kerajaan

Kerajaan akan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan untuk kakitangan kerajaan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) iaitu tempoh pembiayaan pertama dari 30 tahun kepada 35 tahun dan tempoh pembiayaan kedua dari 25 tahun kepada 30 tahun.

Bantuan Pembiayaan Perumahan Golongan B40

Untuk membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama, Bank Negara akan menubuhkan dana berjumlah RM1 bilion untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000. Dana ini tersedia di AmBank, CIMB, Maybank, RHB dan BSN melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5%. Dana ini disediakan untuk 2 tahun atau sehingga peruntukan dihabiskan.

Dengan penubuhan dana ini akan berpotensi mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah.

Terus Membina Rumah Mampu Milik

Kerajaan memperuntukkan hampir RM1.5 bilion untuk Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Bhdakan dan akan terus membina & menyiapkan rumah mampu milik demi memastikan bekalan rumah mencukupi.

Amanah Pelaburan Hartanah Lapangan Terbang

Kerajaan juga bercadang mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah (AHB) bagi lapangan terbang – Airport Real Estate Investment Trust (REIT) yang pertama di dunia. Kerajaan berharap akan meraih dana sebanyak RM4 bilion daripada penjualan 30% ekuiti REIT kepada institusi pelaburan.

Seorang Registered Estate Agent (E2578) yang berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah & Pengurus Harta Malaysia (LPPEH).

Saya kini berkhidmat sebagai Prinsipal di Alam Harta Realty E(3)1687, sebuah firma ejen hartanah yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

Call/SMS/WhatsApp saya di 019-2172330 untuk pertanyaan & bantuan penjualan/pembelian/sewaan hartanah anda di Lembah Klang dan sekitarnya.

0 comments… add one

Leave a Comment