Membuat Pengeluaran KWSP Akaun 2 Untuk Pembelian Rumah

February 27, 2018

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Employees Provident Fund (EPF) merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452). Fungsinya menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan yang cekap dan efisien.

KWSP membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 2 untuk pembelian sebuah rumah.

Ahli KWSP Yang Layak Memohon

  1. Ahli bertaraf Warganegara Malaysia ATAU Bukan Warganegara
  2. Ahli belum mencapai umur 55 Tahun pada tarikh permohonan
  3. Ahli masih mempunyai simpanan dalam Akaun 2 (minimum RM 500.00)

Tidak Layak Memohon

  1. Membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja
  2. Mengubahsuai, membaiki atau membuat kerja-kerja tambahan kepada rumah yang sedia ada
  3. Pemilikan harta tidak melalui transaksi jual beli
  4. Mengambil pinjaman berbentuk Overdraf
  5. Membeli rumah ketiga
  6. Membeli rumah di luar negara

Amaun Yang Boleh Dikeluarkan

(Mengikut mana yang lebih rendah: Tidak kurang dari RM500)

  1. Pembelian rumah oleh individu
    Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah; ATAU Semua simpanan Akaun 2
  2. Pembelian rumah bersama keluarga terdekat atau individu lain
    Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman perumahan dan tambahan 10% daripada harga rumah; ATAU Semua simpanan Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada amaun maksimum yang layak dikeluarkan
  3. Pinjaman perumahan 100%
    10% daripada harga rumah; ATAU Semua simpanan Akaun 2
  4. Pembelian tanpa pinjaman/secara tunai
    Harga rumah dengan tambahan 10% daripada harga rumah; ATAU Semua simpanan Akaun 2

Syarat Pengeluaran

  1. Ahli membeli atau membina atas sebuah rumah kediaman (jenis banglo / teres / berkembar / apartment / kondominium
    / ‘studio apartment’ / ‘service apartment’ / ‘townhouse’/ SOHO) atau rumah kedai dengan unit kediaman
  2. Ahli mengambil pinjaman perumahan daripada institusi yang dibenarkan bagi tujuan membeli rumah dengan mana-mana institusi pemberi pinjaman seperti berikut:
    Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan, Majikan ahli, Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia), Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia, Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP; ATAU Secara tunai
  3. Surat perjanjian Jual Beli adalah tidak melebihi tiga (3) tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP
  4. Tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan; ATAU telah membuat pengeluaran untuk membeli rumah pertama dan telah menjualnya atau melupuskan pemilikan dan kemudian membeli rumah kedua
  5. Ahli ingin membeli rumah yang telah diperolehi secara sewa beli daripada pihak yang dibenarkan oleh KWSP
  6. Ahli membeli tanah dan membina rumah di atasnya serentak secara pakej (tarikh perjanjian beli tanah dengan tarikh perjanjian bina rumah hendaklah dalam tempoh 6 bulan)

Dokumen Diperlukan

  1. Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL)(D5)
  2. Salinan dokumen pengenalan diri (jika bukan pemegang Mykad)
  3. Maklumat Akaun bank (Ahli digalakkan membawa buku akaun bank / penyata akaun bank / salinan akaun semasa
    membuat permohonan pengeluaran)
  4. Borang KWSP 3 (pindaan) – jika pengecaman cap ibu jari gagal di kaunter / permohonan melalui pos

Wang Simpanan KWSP Sebagai Sebahagian Deposit

Ada kes pembelian rumah di mana pembeli tidak mempunyai amaun yang mencukupi untuk dijadikan deposit (kebanyakan kes 10% dari harga jualan). Justeru pembeli ada pilihan untuk mengeluarkan wang simpanan Akaun 2 KWSP ini untuk mencukupkan amaun deposit tersebut.

Tempoh untuk pembeli mengeluarkan simpanan KWSP kebiasaannya akan dinyatakan di dalam Perjanjian Jual Beli samada dari tarikh Perjanjian Jual Beli ditandatangani atau dari tarikh kebenaran pindahmilik (consent to transfer) diterima.

Namun hal ini juga memerlukan persetujuan awal dari pihak penjual kerana mereka juga perlu menunggu pihak pembeli membuat urusan pengeluaran KWSP Akaun 2. Oleh sebab itu sekiranya anda berhasrat menggunakan wang dari Akaun 2 KWSP anda untuk pembelian rumah, perundingan dan persetujuan bersama perlu dicapai sebelum anda memulakan prosedur pembelian. Maklumkan hal ini kepada ejen hartanah/perunding hartanah seawal mungkin untuk memudahkan proses rundingan.

Kemudahan pengeluaran ini adalah salah satu cara yang disediakan untuk memberi peluang ahli KWSP memiliki rumah idaman masing-masing atau sekurang-kurangnya sebuah rumah yang dimiliki setelah bersara.

Sumber: Risalah Beri Rumah V01/01/2017 diterbitkan oleh KWSP

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

PERHATIAN: Sebarang komen yang berunsur pengiklanan, mengandungi pautan (link) berunsur promosi, berbaur hasutan atau tidak kena mengena dengan topik yang dibincangkan akan dihapuskan serta-merta dari ruangan komen.