Hakmilik ialah bukti keempuyaan sesuatu hartanah. Asasnya hakmilik mengandungi maklumat mengenai pemunya, lokasi, cukai tahunan, syarat-syarat, sekatan dan beberapa maklumat berkaitan.
Pendaftaran hakmilik tanah terbahagi kepada dua iaitu di satu pejabat pendaftar di setiap Negeri, biasanya terletak di ibu negeri dan satu pejabat tanah di setiap Daerah.
Hakmilik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu hakmilik sementara (Qualified Title) dan hakmilik tetap (Final Title).
Hakmilik Sementara
Hakmilik sementara dikeluarkan selepas pemberian awal tanah oleh kerajaan negeri dan belum diukur secara halus. Pelan tanah akan disediakan & diperakukan oleh Pengarah Ukur Negeri yang kemudiannya dipindahkan kepada borang hakmilik tetap. Sementara menunggu hakmilik tetap dikeluarkan maka hakmilik sementara disediakan. Hartanah dengan hakmilik sementara ini tidak boleh dibuat urusan pecah sempadan, pecah bahagian atau penyatuan. Namun begitu urusan pindahmilik, pajakan dan gadaian boleh dilakukan.
Hakmilik sementara yang didaftarkan di bawah pejabat pendaftar akan dipaparkan sebagai Hakmilik Sementara Daftar (HSD) manakala hakmilik sementara yang didaftarkan di bawah pejabat tanah akan dipaparkan sebagai Hakmilik Sementara Mukim (HSM).
Hakmilik Tetap
Hakmilik tetap pula dikeluarkan apabila telah diukur halus (final survey has been done) justeru luas tanah yang tepat dan ukuran yang terperinci telah diperoleh dan membolehkan hartanah dengan hakmilik tetap ini melalui urusan pecah sempadan, pecah bahagian atau penyatuan tanah.
Hakmilik tetap yang didaftarkan di bawah pejabat pendaftar akan dipaparkan sebagai Geran Negeri (GRN) atau Pajakan Negeri (PN) manakala hakmilik tetap yang didaftarkan di bawah pejabat tanah akan dipaparkan sebagai Geran Mukim (GM) atau Pajakan Mukim (PM).