Apabila anda mula berurusan dengan perunding hartanah / ejen hartanah percubaan / ejen hartanah berdaftar dari agensi hartanah tertentu, antara perkara yang mustahak untuk diperbincangkan ialah jenis lantikan agensi hartanah yang terlibat dan implikasinya kepada transaksi hartanah anda.
Berdasarkan standard 3 Malaysian Estate Agency Standards Second Edition 2014 yang menjadi panduan kepada amalan perejenan hartanah di Malaysia, terdapat empat jenis lantikan agensi hartanah iaitu Exclusive Agency, Sole Agency, Joint Agency dan Ad Hoc Basis.
Transaksi ejen hartanah merujuk kepada penjualan, pembelian, penyewaan dan pajakan hartanah. Pihak yang melantik pula boleh jadi pihak penjual, tuan hartanah sewa, pembeli atau penyewa. Dalam kebanyakan kes pihak yang melantik ialah pihak penjual atau tuan hartanah sewaan.
Exclusive Agency (Ejen Eksklusif)
Di bawah lantikan ini, hanya satu agensi hartanah eksklusif sahaja yang dibenarkan untuk menyempurnakan transaksi hartanah tersebut. Agensi akan tetap layak untuk menerima fi profesional yang telah dipersetujui sekiranya transaksi berlaku walaupun agensi tersebut bukan pihak yang menyebabkan transaksi tersebut berlaku.
Sole Agency
Di bawah lantikan ini hanya satu agensi hartanah sahaja yang dilantik. Dalam masa yang sama, pihak yang melantik juga berhak untuk menyempurnakan transaksi tersebut dengan sendiri tanpa penglibatan mana-mana agensi hartanah selain agensi hartanah yang dilantik tadi.
Joint Agency
Di bawah lantikan ini lebih dari satu agensi hartanah dilantik untuk dan agensi yang berjaya sahaja yang akan menerima bayaran fi profesional. Namun begitu bilangan agensi hartanah yang dilantik adalah terhad dan agensi-agensi yang terlibat maklum mengenai agensi-agensi yang terlibat di dalam pemasaran hartanah tersebut.
Ad Hoc / General / Open Listing
Di bawah lantikan ini bilangan agensi hartanah yang terlibat tidak terhad dan pihak yang melantik pula bebas untuk melantik mana-mana agensi hartanah untuk terlibat dalam pemasaran hartanah tersebut. Agensi hartanah yang berjaya sahaja yang akan menerima bayaran fi profesional.
Ringkasan Perbezaan
Secara ringkasnya perbezaan di antara keempat-empat jenis lantikan agensi hartanah ini adalah pihak yang berhak menyempurnakan transaksi ejen hartanah seperti berikut:
- Exclusive Agency – Agensi eksklusif sahaja
- Sole Agency – Agensi dilantik (1) + Pihak yang melantik
- Joint Agency – Agensi-agensi dilantik yang maklum sesama sendiri
- Ad Hoc – Semua agensi yang dilantik