PETALING JAYA, 23 Sept (Bernama) — Malaysia Property Incorporated (MPI), agensi kerajaan bukan-keuntungan di bawah bidang kuasa Unit Perancang Ekonomi (EPU), mensasar untuk menjual hartanah Malaysia bernilai RM200 juta di Singapura tahun depan, kata ketua pegawai eksekutif Kumar Tharmalingam.
“Hasrat kami ialah mempromosikan Malaysia sebagai syurga selamat untuk menyimpan wang para pelabur dan telah mendapat maklum balas positif terutamanya di China, India, Indonesia dan Singapura.
“Sebagai pemadan dan fasilitator untuk melabur di Malaysia, pejabat MPI Singapura dan galeri pameran memberikan pelabur akses terus kepada maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan pelaburan serta sebagai platform untuk perbadanan berkaitan swasta dan kerajaan untuk mengetengahkan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka,” kata beliau dalam taklimat media di sini Jumaat.
MPG, ialah galeri yang menawarkan pemaju Malaysia, ejen dan syarikat hartanah peluang menjangkaui dan berinteraksi secara langsung dengan para pembeli Singapura.
Terletak di tengah-tengah wilayah kewangan Singapura, MPG ialah sumber sehenti menyeluruh untuk para pelabur mendapatkan maklumat mengenai hartanah Malaysia.
Kumar berkata antara Oktober tahun lepas dan Ogos tahun ini, kira-kira RM114 juta hartanah Malaysia, kebanyakannya di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bharu, telah dijual kepada warga Singapura.
— BERNAMA